Artikel 14
2 Julai 2024
Perceraian Secara Harmoni Melalui Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984
Nukilan Oleh : Sharina Shereen Hasmuri Ahli Timbalan Setiausaha Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Statistik perceraian yang direkodkan menunjukkan trend peningkatan yang terus melonjak hari demi hari. Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, dapatan kajian yang dilakukan pihaknya setakat ini, sebanyak 56.2 peratus lelaki menyatakan mereka bercerai kerana tiada persefahaman dengan pasangannya, diikuti pasangan curang (11.8 peratus) dan campur tangan mentua atau ipar-duai (10 peratus).
Masyarakat pada hari ini masih mempunyai tanggapan buruk dan agak skeptikal terhadap perceraian. Memandangkan ia juga berdasarkan Hadis Rasulullah SAW; “Perkara halal yang paling dibenci di sisi Allah ialah talak.” (Riwayat Abu Daud).
Namun, perlu diingat bahawa perceraian juga adalah syariat yang perlu difahami dan ditekuni bersama, ianya diperbolehkan mengikut panduan dan peraturan yang telah ditetapkan di bawah Undang-undang Keluarga Islam setiap negeri. Penulis berhasrat untuk memfokuskan artikel ini terhadap peruntukan mengenai perceraian dan prosedur yang telah ditetapkan di bawah Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).
Jika diteliti dengan lebih mendalam peruntukan di bawah Seksyen 47 Akta 303 tersebut, ia merupakan suatu prosedur perceraian yang lengkap dan penuh dengan hikmah. Bermula dengan perceraian yang dituntut atas persetujuan bersama, sehinggalah jika perceraian tersebut dituntut tanpa mendapat persetujuan pasangan. Bagi perceraian yang dituntut tanpa persetujuan pasangan, maka mereka perlu melalui kesemua prosedur di bawah Seksyen 47 Akta 303. Berbeza dengan perceraian yang dituntut atas persetujuan bersama, mereka hanya perlu hadir secara bersama ke Mahkamah dan menyatakan persetujuan di hadapan Hakim untuk bercerai secara baik tanpa melalui proses yang panjang.
Walaupun begitu, masih ada segelintir masyarakat kita pada hari ini yang mengatakan bahawa prosedur perceraian yang telah ditetapkan oleh undang-undang Islam ini menyusahkan kerana memakan masa yang lama. Tidak dinafikan proses di bawah Seksyen 47 Akta 303 tersebut memakan masa yang agak lama, namun dari segi praktikalnya, ia sebenarnya bertujuan untuk membantu dan memberi ruang kepada pasangan tersebut mencari titik perdamaian terlebih dahulu. Jika perdamaian tersebut gagal dicapai, maka ada proses lain yang perlu dilalui bagi membolehkan pasangan tersebut bercerai secara harmoni.
Proses tersebut bermula dengan lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) melibatkan wakil kedua-dua belah pasangan di mana proses lantikan ini akan diadakan di Mahkamah dan seterusnya pasangan dan wakil masing-masing akan dipanggil ke Pejabat Agama Daerah untuk sesi perdamaian iaitu Majlis JKP. Majlis JKP ini terdiri daripada 1 orang Pengerusi iaitu Pegawai di Pejabat Agama, beserta 4 orang yang terlibat iaitu pasangan dan wakil masing-masing. Majlis JKP tersebut kebiasaannya akan diadakan sekali sahaja melainkan jika ada keperluan lain yang mendesak kepada Majlis JKP yang kedua. Proses JKP ini ditetapkan masanya sehingga 6 bulan untuk mencari titik perdamaian selepas tarikh perlantikan. Jika gagal berdamai dan suami masih enggan melafazkan talak, maka prosiding tersebut akan dibawa ke peringkat Hakam.
Seterusnya, Hakam ini akan dilantik oleh Mahkamah dan bertindak sebagai orang tengah bagi pihak pasangan di mana ianya melibatkan 2 peringkat lantikan iaitu Hakam Kerabat dan Hakam Panel. Hakam Kerabat ini mestilah seorang lelaki yang dilantik dalam kalangan ahli keluarga atau kerabat terdekat yang mengetahui isu rumahtangga pasangan tersebut. Manakala Hakam Panel pula adalah seorang lelaki yang dilantik dalam kalangan Pegawai Mahkamah yang terlatih. Di peringkat Hakam Panel ini kebiasaannya Mahkamah akan memberikan kuasa penuh kepada Hakam untuk melafazkan talak bagi pihak suami. Setiap lantikan Hakam ini akan diadakan suatu perbincangan atau dipanggil sebagai Majlis Tahkim di mana Majlis Tahkim ini perlu dijalankan dalam tempoh 30 hari selepas lantikan dibuat.
Perbezaan antara Majlis JKP dengan Majlis Tahkim ini adalah Majlis JKP bertujuan untuk mencari titik perdamaian, manakala Majlis Tahkim pula bertujuan untuk mencari punca perbalahan yang sering berlaku tersebut datang daripada samada suami atau isteri. Jika perbalahan banyak berpunca daripada suami, maka perceraian boleh dijalankan secara talak melalui Hakam. Namun jika sebaliknya, maka perceraian boleh dijalankan secara khuluq atau tebus talak melalui Hakam. Kesannya bagi setiap perceraian yang dibuat melalui Hakam, pasangan tersebut tidak boleh rujuk semula dalam tempoh ‘iddah dan memerlukan kepada akad perkahwinan yang baru jika hendak kembali bersama.
Hikmahnya, prosedur yang perlu dilalui oleh setiap pasangan yang bercerai di bawah Seksyen 47 Akta 303 ini sangat lengkap dan teratur bermula dengan usaha untuk mencari titik perdamaian terlebih dahulu, kemudian baru diteruskan dengan talak jika perdamaian gagal dicapai. Peruntukan tersebut telah digubal selari dengan kehendak hukum syarak yang sangat mementingkan prinsip sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga. Setiap pasangan sewajarnya mengambil peluang dan memanfaatkan ruang yang diberikan oleh Mahkamah melalui Seksyen 47 Akta 303 tersebut untuk kembali berbaik, namun jika gagal berbaik.. setidaknya perceraian tersebut dapat diselesaikan secara harmoni sesuai dengan firman Allah S.W.T dalam Surah al-Baqarah: 229, mafhumnya:
Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, setelah itu bolehlah ia (rujuk dan) dipegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya (makruf) atau dilepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik.
Penulis adalah pengamal undang-undang