Artikel 13
2 Julai 2024
Keghairahan Mengejar Perbicaraan Kes
Nukilan Oleh : Amer Haiqal Bin Mohd Yusof Ahli Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Semasa sedang asyik menjamu juadah berbuka, saya didatangi oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai "Husein" (bukan nama sebenar). Kami berbual berkenaan dengan majlis berbuka tersebut dan kemudian disusuli dengan soalan berkaitan pekerjaan saya. Saya maklumkan saya seorang peguam yang masih baru dan tidak rasa layak pun ingin menggelarkan diri sendiri sebagai peguam.
Husein terkejut apabila mengetahui pekerjaan saya dan mukanya terus berubah kerana ingin bertanya tentang kes jenayah yang pernah disabitkan ke atas dirinya. Selepas diberitahu tentang fakta kes, saya menerangkan serba sedikit berkaitan prosedur kes jenayah yang berkait dengan kesnya. Kelihatan mukanya berubah sugul dan sedih menceritakan pengalamannya di penjara atas fitnah yang dilemparkan.
Beribu-ribu wang miliknya habis digunakan untuk membayar yuran guaman kerana dinasihati bahawa kesnya mesti melalui perbicaraan dan tiada pilihan lain. Kesnya juga unik dan pasti menjadi hebahan di sosial media dan akhbar tempatan dan dapat menaikkan "reputasi" peguam yang mengendalikannya. Saya bertanya kepada Husein, "Peguam dulu ada hantar surat representasi kepada AGC ke?". Husein menggeleng dan tidak mengetahui apa itu surat representasi.
Surat representasi ini adalah satu surat permohonan yang dihantar oleh peguambela yang mewakili Orang Kena Tuduh ("OKT") dan dihantar kepada pihak pendakwaan. Peguambela akan menghantar surat representasi ini kepada pihak pendakwaan di peringkat negeri dan sekiranya ditolak, akan menghantar surat tersebut kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Pihak pendakwaan mempunyai hak untuk menolak, menerima atau menerima sebahagian permohonan surat representasi tersebut. Kuasa tersebut diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang mana Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan apa-apa prosiding jenayah.
Apakah yang dipohon oleh peguambela dalam surat representasi tersebut? Peguambela akan memohon kepada pihak pendakwaan supaya mengurangkan atau menggugurkan pendakwaan terhadap OKT. Selain itu, peguambela juga boleh memohon supaya hukuman yang dikenakan adalah ringan dan munasabah sekiranya OKT mengaku salah.
Bilakah surat representasi ini boleh dihantar kepada pendakwaan? Kebiasannya peguambela akan menghantar surat ini sebelum perbicaraan bermula dan akan memaklumkan status surat representasi ini kepada Mahkamah semasa sebutan. Selain itu, surat representasi ini juga boleh dihantar selepas perbicaraan bermula di mana peguambela akan mengambilkira bukti dan keterangan semasa kes pendakwaan yang mana akan menguatkan permohonan surat representasi tersebut.
Semasa konsultasi dan mesyuarat bersama anakguam, saya sering melihat peguam senior menerangkan surat representasi ini kepada anakguam sebagai ikhtiar dalam menghadapi prosiding jenayah. Ada yang senipis lima muka surat dan ada yang tebal berpuluh-puluh muka surat bergantung kepada fakta dan keterangan yang ada. Sekiranya surat representasi ini diterima, semestinya yuran guaman yang perlu dibayar adalah sedikit dan bukannya jumlah penuh yang melibatkan peringkat perbicaraan, namun itulah amanah yang kita jalankan dan itulah juga rezeki dan peluang yang diberikan oleh Allah SWT untuk menolong, melindungi atau memberi peluang kedua kepada anakguam.
Tatkala segelintir peguam mengejar keghairahan untuk melakukan perbicaraan atas faktor populariti kes atau yuran guaman yang lebih tinggi, nasib anakguam sepatutnya dijadikan keutamaan dalam menjalankan tugas. Peguam mempunyai ilmu dan tanggungjawab untuk menasihati anakguam pilihan yang terbaik dengan mengambil kira setiap faktor terutamanya kewangan, masa dan tenaga anakguam dalam menghadapi kes di Mahkamah. Mungkin terdapat banyak kes di luar sana seperti Husein yang dapat dielakkan sekiranya kita mendahului nasib anakguam daripada kepentingan diri sendiri.
Sebagai peguam yang beragama Islam dan beriman, ingatlah bahawa pekerjaan ini merupakan satu amanah daripada Allah SWT. Tunaikanlah amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan adil dalam menjalankan tugas kita sebagai peguam. Hayatilah peringatan yang diberikan kepada kita semua dalam surah An-Nisaa ayat ke-58:-
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat."
Penulis adalah pengamal undang-undang